Tuesday, January 26, 2010

POLITIK ISLAM MEMIMPIN PERUBAHAN MAHASISWA

Oleh : Mohd Hadi Bin Abd Rahman

Presiden Kelab Iqra’ UTHM


Mahasiswa merupakan pewaris kepimpinan negara dan masyarakat. Dalam era perubahan zaman yang kian memberi cabaran kepada mahasiswa telah membuktikan sifat keaktifan, progresif dan pemikiran yang dinamik sebagai gerakan mahasiswa memberi impak yang besar kepada corak kepimpinan masa kini. Jika melihat kepada teori Kepimpinan Kontingensi adalah merupakan alternatif terbaik yang menjadi pilihan kebanyakan pemimpin dalam apa jua organisasi gergasi.


Elemen politik dalam setiap organisasi memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan mahasiswa yang berkarisma dan berani untuk berubah. Pemimpin-pemimpin yang berkarisma amat diperlukan untuk melakukan "transformasi" atau perubahan dalam struktur organisasi yang pernah melalui zaman ‘kemurungan’ dalam pemikiran individu dan kumpulan organisasi berkenaan. Kepimpinan Transformational, Transactional yang berpusatkan kepada perubahan adalah merupakan corak kepimpinan yang berupaya untuk melakukan perubahan-perubahan yang lebih dinamik.


Hunsaker P.L. (1986) mendefinisikan Pemimpin Karismatik adalah seorang pemimpin yang tingkahlakunya menunjukkan intipati apa yang sesebuah organisasi atau kumpulan sosial perjuangkan untuk dicapai. Pemimpin jenis ini berusaha untuk mencernakan nilai-nilai dalam organisasi dan menterjemahkan, memulihara dan mengubah nilai-nilai tersebut. Menurut Philip L. Hunsaker (1986) pula, Pemimpin Transformational adalah pemimpin yang memiliki pengaruh yang dapat mengatasi individu yang berinteraksi secara terus dengan mereka. Melalui visi, tindakan dan pengaruh, mereka mengubah arah aspek-aspek yang besar dalam organisasi.


Kepimpinan Karismatik ini kerap muncul dalam suasana krisis sebagai individu penyelamat (Bass, 1974). Namun pada hemat saya, apabila penggabungan antara kepimpinan yang berkarisma dan berani melakukan perubahan seterusnya jika mereka berjaya, Kepimpinan Karismatik ini akan menghasilkan transformasi (Stark, 1969, menyebutnya sebagai inovasi) yang radikal tetapi adakalanya ia membawa akibat yang negatif atau memudharatkan (Davies, 1954). Maka, disinilah peranan Politik Islam Dalam Memimpin Perubahan bagi mengatasi akibat yang negatif atau memudharatkan sebagaimana inovasi yang dilakukan. Seharusnya mahasiswa yang mempuyai sifat kepimpinan yang tinggi tidak dapat tidak, harus meneladani konsep dan peranan politik dalam Islam.

" Ada seseorang yang datang menghadap kepada Rasulullah SAW, jihad apakah yang paling baik? Baginda mendiamkannya. Ketika Baginda melempar jumrah kedua, dia bertanya kembali kepada Baginda SAW, namun Rasulullah SAW pun tetap tidak menjawabnya. Maka pada saat melempar jumrah aqabah, dimana Baginda (ketika itu) sudah memasukan kaki Baginda SAW keatas pelana (kuda) untuk menaikinya, Rasulullah SAW bertanya :’Mana orang yang bertanya tadi ?’ Dia menjawab : ‘Saya, Ya Rasulullah.’ Rasulullah SAW kemudian bersabda : ‘ Adalah kata-kata yang hak (kalimatu haqqin), yang diucapkan dihadapkan seorang penguasa yang zalim." (Ibnu Majah).


Menasihati penguasa yang zalim sememangnya memerlukan keberanian dan pengorbanan yang tinggi. Sebab itu, istilah khalifah dengan manusia sangat berkait rapat dalam menentukan corak ketamadunan hidup sesebuah bangsa. Urusan politk dalam Islam sangat bersangkutan dengan keterangan di atas. Manusia perlu kembali kepada hakikat penciptaan, meyakini Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Rabb kepada sekalian alam, serta kembali kepada seruan untuk beramal dan bekerja berpandukan manual yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril. Juga menjadikan model kehidupan Nabi Muhammad sebagai contoh ikutan yang wajib untuk diikut.


Menerusi pemikiran seperti ini, akan lahirlah politikus mahasiswa yang berfikir dengan corak dan gaya pemikiran Islam. Bukan politik yang berpaksikan kepada kepartian, bukan juga politik perkauman, bukan politik inidividu, apalagi politik wang. Memahami tuntutan berpolitik untuk mengembalikan manusia kepada Tuhannya. Berpolitik untuk mentadbir urusan ciptaan berdasarkan acuan Penciptanya. Sebagai seorang pemimpin, mahasiswa hendaklah sentiasa memimpin masyarakat di dalam kampus khususnya dan luar kampus umumnya dengan meletakkan Islam dan Kalimah Allah yang Maha Tinggi di tempat yang paling tinggi dalam setiap urusan politk dan kehidupan sehariannya.


No comments:


I made this widget at MyFlashFetish.com.