Wednesday, August 25, 2010

Mahasiswa UTHM, Adakah Hilangnya Kemuncak Kemuliaan Ramadhan ?

Assalamualaikum warahmatullah...

Sempena bulan Ramdhan ini, penulis tertarik satu artikel yang sempat dibaca sebagai pembacaan tambahan iaitu berkenaan Ramadhan dan Laliltulqadar. Minggu ini penulis ingin mengajak rakan-rakan mahasiswa dan pembaca menyelusuri maudhuk bicara penulis berkenaan "Mahasiswa, Adakah Hilangnya Kemuncak Kemuliaan Ramadhan? ".

Hembusan bayu Ramadhan kembali mendamaikan jiwa-jiwa mukmin. Bahkan penghuni syurga juga terpinga-pinga dengan hembusan 'muthirah' yang menerpa ke pintu syurga yang kini dibukakan seluas-luasnya. Manakala dibumi, suasana keimanan mula mewarnai sukma para Mukmin. Kemanisan iman begitu mudah dirasai dan merdu suara keimanan begitu mudah menyentuh jiwa. Dan Allah Yang Maha Rahman, semakin mewah melimpahkan rahmat dan ihsan-Nya. Allahuakbar, begitu indahnya penulis merasai kedatangan Ramadhan andai kita benar-benar merasai rindunya sebelum Ramadhan.

Namun, dari hari ke hari, penulis melihat secara tidak langsung di Masjid UTHM dan surau-surau kolej, semakin lama semakin 'kehilangan' mahasiswa berjamaah solat fardhu, apatah lagi solat sunat tarawikh. Seminggu Ramdhannya penuh, tetapi ia dihambat kesepian dari hari ke hari, diundang krisis hilangnya mahasiswa utk solat berjamaah di Masjid dan Surau. Apakah mahasiswa UTHM sedar akan hakikat ini? Apakah
merdu suara keimanan tidak menyentuh hati-hati mahasiswa? Satu persoalan penulis sering terfikir akhir-akhir ini. Jika ingin dikatakan sibuk dengan tugasan-tugasan, projek dan test, penulis akui sangat sibuk apatah lagi ditambah dengan kerja-kerja pengurusan program. Tetapi, InsyaAllah masih berkesempatan untuk penulis merebut peluang menempatkan diri bagi mendapat keredhaan dan keampunan Allah.

Rasulullah SAW menyatakan bahawa kemuncak kemuliaan yang akan diperolehi seseorang hamba yang tekun beribadah pada malam al-Qadar ini adalah mendapat keampunan total terhadap segala dosa yang menyebabkan seseorang bersih-sebersihnya.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang mendirikan ibadat pada malam al-Qadar (lailatulqadar) dengan penuh keimanan dan ihtisab (yakin ikhlas mengharapkan ganjaran daripada Allah), diampunkan segala dosanya yang terdahulu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Amatlah malang jika kita yang diizinkan bertemu dengan tetamu Ramadhan yang penuh berkat ini, hanya membiarkan lailatulqadar berlalu tanpa kita mendapatkan manfaat kerohanian yang melimpah-ruah dan penuh keagungan ini. Satu kerugian yang tidak dapat dibayangkan!

Rakan Mahasiswa sekalian, penulis mengajak diri penulis dan rakan sekalian untuk sama-sama kita tingkatkan dan terus merebut peluang ganjaran dari Allah. Letakkanlah matlamat kita untuk kita berubah dari sikap yang buruk kepada yang baik. Dari sikap yang baik supaya bertambah baik.. Kerana hikmah Ramadhan ini adalah satu bulan yang mampu untuk kita membentuk peribadi yang mulia, yang baik pada akhlaknya.

Selamat Meneruskan Ibadah Puasa Rakyatku.

Berpuasalah wahai tangan, kaki, mata, telinga dan terutamanya HATI, agar kita tidak hanya menahan lapar dan dahaga.

No comments:


I made this widget at MyFlashFetish.com.