Wednesday, March 3, 2010

Ucapan Dasar : Transformasi Dakwah, Memimpin Pembentukan Ummah

UCAPAN DASAR PRESIDEN KELAB IQRA’

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KELAB IQRA’ KALI KE-11

UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA

“TRANSFORMASI DAKWAH MEMIMPIN PEMBENTUKAN UMMAH”


MUQADDIMAH

بسم الله الرّحمن الرّحيم

الحمدلله ربّ العالمين والصّلاة والسّلا م على أشرف الأنبياء والمرسلين و على آله وأصحابه ومن تبعه الى يوم الدّين

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Dihormati Saudara Pengerusi Tetap,

Yang Dikasihi Jawatankuasa Pelakasana Muktamar Kelab Iqra’ UTHM Kali Ke-11

Yang Dikasihi Barisan Pimpinan Kelab Iqra’ UTHM sesi 2009

Yang saya raikan wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar, wakil dari kelab-kelab dan persatuan, semua perwakilan, sahabat-sahabat Iqra’ serta sidang muktamirin dan muktamirat sekalian.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi rasa kesyukuran sama-sama kita merafakkan lafaz syukur kerana hari ini dengan izin dan inayahNya dapat kita berkumpul bagi menjayakan mesyuarat Agung Tahunan Kelab Iqra Universiti Tun Hussien Onn Malaysia kali ke-11, yang telah menempuh pelbagai bentuk cabaran, aneka kondisi yang bisa mendewasakannya. Mudah-mudahan dengan pertemuan pada hari ini, sama-sama kita muhasabah mengenai perjalanan dakwah sepanjang sesi lepas serta melantik pimpinan baru yang bakal menerajui Kelab Iqra’ bagi meneruskan agenda dakwah yang murni di bumi kampus UTHM ini. Proses lantikan pimpinan melalui syura’ telah dipersetujui pada muktamar yang lepas. Alhamdulillah, dengan berkat dan izin Allah, proses ini berlaku dalam tempoh hampir dua (2) bulan. Bakal-bakal pimpinan yang ditaklifkan akan melansungkan perjuangan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Muktamirin dan Muktamirat Sekalian,

Tranformasi Dakwah, Memimpin Pembentukan Ummah, merupakan tema yang digarabkan pada muktamar kali ini. Dalam pelbagai kesempatan selalu muncul kegelisahan yang mempersoalkan gerakan dan pemikiran yang lesu di kalangan mahasiswa sebagai umat Islam dan lebih-lebih lagi sebagai generasi penggerak dakwah. Pengamatan kepada masalah sosial mahasiswa, penularan salah faham terhadap Islam, perkembangan negara dan antarabangsa serta mengambil tahu khabar saudara kita di seluruh dunia menjadi tuntutan kepada kita. Memahami senario kampus dan luar kampus, menganalisis cara pemikiran barat, memahami gaya perjuangan dan rentak dakwah antarabangsa, pasti ada sesuatu yang boleh kita pelajari. Oleh itu, pendekatan dakwah yang lebih menarik yang perlu diterokai oleh para daie adalah membudayakan diri dengan membaca, memahami dan menganalisis setiap perkara yang berlaku disekelilingnya untuk mendapatkan maklumat bagi menggerakkan dakwah dengan lebih terbuka, menarik dan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat yang berada disekitarnya untuk membentuk bi’ah solehah dikampus.

Sidang mesyuarat, ikhwah dan akhawat yang dikasihi Allah SWT sekalian

1.0 MEMPERKUKUHKAN UKHUWAH, MEMPERKASAKAN KESATUAN

Setelah sekelian lama Kelab Iqra’ mendukung asas persaudaraan atas dasar keimanan sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara”(Al-Hujurat: 10)

Perkara asas bagi memperkasakan ukhuwwah dan kesatuan ini dilaksanakan melalui setiap program yang dianjurkan oleh Kelab Iqra’ dengan keterlibatan sahabat Iqra’ khususnya serta seluruh mahasiswa kampus amnya. Begitu juga pengurusan gerak kerja Majlis Tertinggi selama ini yang telah bertungkus lumus dalam susah senang memacu agenda dakwah untuk memastikan pengurusan dan pentadbiran kelab mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan.

Kembali kepada asas ukhuwwah yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang telah berjaya menyatukan kaum Aus dan Khazraj dengan satu gelaran iaitu golongan Ansar. Mereka yang pernah berseteru beratus tahun lamanya, dapat disatukan dengan asas keimanan.

Akhirnya Rasulullah SAW mempersaudarakan pula kaum Muhajirin dan Ansar, lalu membentuk satu ketumbukan Islam yang kuat asas akidah, ukhuwwah dan kesatuannya. Sunnah kesatuan ini diteruskan oleh para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in, yang mengangkat panji-panji Islam di serata dunia.

Sebagaimana yang kita ketahui, objektif utama anjuran program-program Kelab Iqra’ seperti Permata 09’, rehlah, Gemersik dan sebagainya yang telah diadakan adalah untuk mengeratkan silaturahim di kalangan mahasiswa UTHM di bawah satu bumbung persatuan.

Muktamirin dan mutamirat yang dikasihi sekalian,

2.0 KEWAJIPAN BERDAKWAH

Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 110 :

Mafhum : Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan untuk kemaslahatan manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah dari kemunkaran serta kamu beriman dengan Allah.

Dalam ayat di atas Allah S.W.T menyatakan ketinggian dan kemuliaan orang-orang mukmin beserta sifat-sifat yang menyebabkan mereka layak digelar sebagai Khaira Ummah (umat yang terbaik) iaitu mereka menyuruh (mengajak) manusia kepada perkara yang ma’aruf (kebaikan), mereka mencegah (melarang) manusia dari melakukan kemungkaran. Dalam usaha-usaha tersebut mereka sentiasa menjaga dan memelihara diri mereka dengan mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud :

dan hendaklah ada di antara kamu satu gologan yang mengajak manusia kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf melarang dari kejahatan dan merekalah orang-orang yang beruntung. “

Demikian keterangan yang jelas dari ayat diatas tentang kewajipan berdakwah yang diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada RasulNya dan orang-orang mukmin. Maka, kita mengharapkan dakwah akan berjalan dengan cara penuh hikmah dalam usaha menyeru kepada Islam.

Berikutan beberapa program Kelab Iqra’ yang menjalankan tanggungjawab perlaksanaan dakwah di kalangan masyarakat kampus dengan menjalinkan beberapa usahasama dan pendekatan tertentu seperti program kerjasama bersama Majlis Perwakilan Pelajar iaitu Perarakan Maulidurrasul dan program Forum Al-Quran dan Sains sempena Hari Konvokesyen ke-8. Selain itu, Program Misi Kemanusiaan di Indonesia iaitu Sinar Di Acheh (II) yang mengenengahkan kerjasama Kelab Iqra’ dengan Jawatankuasa Teman Pusat Islam bersama Kelab Kaunseling dan Kerjaya. Tidak lupa juga, diskusi bersama Student Foreigner Council dalam menjaga kebajikan mereka. Oleh itu, kerjasama yang telah terjalin, wajar diteruskan lagi secara bersama yang menjadi faktor penting dalam menunaikan kewajipan dan tanggungjawab dakwah.

3.0 MAHASISWA : PERUBAHAN DAN PERSIAPAN

Dalam proses membuat suatu perubahan, begitu banyak persediaan perlu ada dalam diri mahasiswa. Mahasiswa tidak perlu menunggu sehingga lengkap segala persediaan untuk mengatur tindakan ke arah perubahan tetapi segala persediaan perlu diiringi dengan pengurusan dan tindakan yang dinamik. Diantara bentuk persediaannya adalah seperti peningkatan Ilmu.

Ilmu perlu menjadi asas kepada semangat juang para mahasiswa, tanpa ilmu semangat yang berkobar-kobar mungkin sahaja boleh dipadamkan dengan ugutan, ancaman, tawaran wang dan harta benda dan sebagainya. Ilmu yang seiiring dengan matlamat Islam akan menjadi tunjang dan syarat asas kepada seluruh gerakan Dakwah Islamiyyah. Berikutan itu, beberapa program berbentuk kuliah ilmu telah dapat diintipatikan dalam Kuliah Fiqh An-Nisa dan Kuliah Pembangunan Integriti Islam yang didalamnya terkandung pelbagai tajuk yang memberikan banyak pendedahan dan pembudayaan ilmu. Natijah daripada pengisian-pengisian yang telah diberikan oleh pelbagai penceramah telah membentuk generasi mahasiswa yang berilmu sebagai persediaan untuk membuat perubahan ke arah yang lebih dinamik dan proaktif.

Rasulullah SAW juga bersabda:

Mafhum :

‘Saling bernasihatlah dalam ilmu serta janganlah kamu tutup ilmu itu antara satu sama lain, kerana khianat pada ilmu itu lebih besar dosanya daripada khianat pada harta’ (Riwayat Abu Nai’m)

Muktamirin muktamirat yang dirahmati Allah,

4.0 INTELEKTUAL MAHASISWA, KETAJAMAN PENDEKATAN DAKWAH

Mahasiswa merupakan sebahagian daripada masyarakat. Tidak keterlaluan dikatakan mahasiswa adalah nadi ummah dalam membawa masyarakat ke tempat yang di redhai Allah. Hal ini berlaku kerana, mahasiswa adalah golongan cerdik pandai yang sudah pasti ilmunya terkedepan daripada kalangan masyarakat yang lain. Tidak keterlaluan dikatakan di era 70an golongan mahasiswalah yang terkedepan dalam mendedahkan segala kebobrokan yang berlaku dalam masyarakat. Kita harus ingat, abad 21 adalah abad persaingan sengit yang akan membelah masyarakat dunia kepada kelompok winners (menang) dan kelompok losers (kalah).

Ini membawa makna kita harus bersedia dari sudut mental, rohani, fizikal dan sebarang kelengkapan yang perlu dalam menangkis segala perkara yang boleh menyebabkan kita kecundang dengan persaingan dunia abad 21. Justeru itu, golongan mahasiswa perlu dipersiapkan dengan kepimpinan yang mampu merubah ummat, mengilap bakatnya, mengembangkan potensinya dan menyegarkan nilai-nilai unggul agama dan budaya.. Dengan kata lain, pemimpin mahasiswa harus di dedahkan dengan kekuatan intelektual dan ketajaman daya analisis. Maka dengan itu, ia dapat membina seorang pemimpin mahasiswa mampu mengangkat martabat ummah hasil daripada corakan nilai pada diri mahasiswa itu sendiri terhadap perencanaan dakwah.

Di dalam ruang lingkup kampus, persoalan memilih serta meneliti uslub iaitu kaedah berdakwah perlu sesuai dengan suasana semasa agar masyarakat kampus dapat menjiwa dan menerimanya dengan baik. Menyoroti beberapa perencanaan program yang telah diadakan sebelum ini, sedikit sebanyak dapat mempamerkan program dakwah yang dianjurkan oleh Kelab Iqra’ bukan sahaja dapat menarik golongan untapped market malah beberapa program seperti rehlah, Smart Manage and Get A’s, Kuliah Pembangunan Integriti Islam, Konsert Azhan Atan dan lain-lain lagi merupakan satu kejayaan yang wajar diteruskan oleh kepimpinan akan datang dan diperhalusi semula kaedah pendekatan program yang akan dijalankan bergantung kepada tahap penerimaan mad’u.

Method dakwah akan berubah berdasarkan watak yang didokongi oleh mad’u, biah yang berbeza-beza, kadar pemikiran yang dimiliki seperti golongan intelektual, golongan pelajar, dan lain-lain serta kefahaman yang dimiliki oleh kelompok-kelompok tersebut. Ini merupakan satu realiti yang mesti ditanggapi oleh para da’ei. Lantaran itu para da’ei mesti bersikap rasional dan matang untuk menentukan method yang perlu diambil dalam menjayakan misi ini.

5.0 MEMAHAMI DAN MELUNASI TANGGUNGJAWAB SIASI

5.1 Isu Kampus

Beberapa isu kampus yang dapat ditangani oleh Kelab Iqra’ dalam usaha mengembalikan sinar siasah kampus. Antaranya ialah isu pemindahan tapak masjid baru dan Pusat Islam UTHM. Untuk makluman sidang muktamirin sekalian, Kelab Iqra’ telah mengambil langkah awal dengan menghantar surat rayuan kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia berikutan berita perpindahan tapak masjid dan Pusat Islam UTHM. Sebelum surat rayuan tersebut dihantar, memorandum serta tanda tangan hampir 90% warga kampus telah pun dihantar melalui Timbalan Naib Cancelor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni untuk mengekalkan tapak asal pembinaan masjid baru dengan beberapa faktor tertentu.

Objektif utama pembinaan masjid UTHM adalah berperanan dalam melahirkan modal insan dan membentuk sahsiah bukan hanya kepada pelajar malah seluruh warga kampus. Selain itu, kedudukan masjid yang berdekatan dengan tempat-tempat tumpuan pelajar dan warga kampus akan memudahkan mereka menghadiri masjid dan secara langsung akan memberi kesan kepada pencapaian objektif utama pembinaan masjid. Implikasi jika cadangan pemindahan diteruskan, maka seluruh warga kampus terpaksa mengambil masa yang lama dengan jarak yang jauh untuk hadir ke masjid daripada pusat tumpuan warga kampus. Ia juga diperkukuhkan dengan beberapa pembinaan infrastuktur yang tidak sesuai dengan pemindahan tapak masjid dan Pusat Islam berdasarkan keadaan dan lokasi kampus UTHM yang telah dibentangkan oleh Pejabat Pengurusan Hartabina (PPH).

Rentetan daripada itu, tanggal 24 Julai 2009 kampus UTHM digemparkan pula dengan isu pembubaran Kelab Iqra’ yang telah tersiar di laman Mahasiswakini.com yang pastinya menjadi tanda tanya terutamanya kepada semua ahli sahabat Iqra’. Perkara ini secara tidak sedar dapat mengejutkan kita daripada khayalan di mana peralihan daripada comfort zone kepada uncomfort zone. Ingin saya mengambil kesempatan untuk berkongsi dan menjelaskan beberapa peristiwa yang berlaku rentetan kepada isu pembubaran Kelab Iqra’. Pembubaran Kelab Iqra’ telah digazetkan dalam minit mesyuarat penyelarasan kelab-kelab pelajar di bawah pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni pada 25 Mei 2009. Diantara perkara yang dimaklumkan dalam sidang mesyuarat dalam pernyataan 3.4 mengatakan “mesyuarat bersetuju dengan cadangan supaya Kelab Iqra’ dibubarkan sahaja kerana banyak masalah dan tidak membantu dalam pembangunan sahsiah pelajar malah banyak menjalankan aktiviti tanpa menerima pandangan daripada Pusat Islam”. Dengan itu, beberapa tindakan pimpinan dan mantan-mantan pimpinan Kelab Iqra’ telah menyediakan pendokumentasian program untuk diserahkan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni melalui Pengarah Pusat Islam bagi membuktikan semua objektif program yang telah dijalankan selaras dengan pembangunan sahsiah pelajar dan kejayaan yang diperolehi sepanjang Kelab Iqra’ bertapak di UTHM semenjak tahun 1998. Namun, akan tetapi tiada sebarang respon dan makluman daripada pihak atasan yang seharusnya diberikan. Sidang muktamirin, Kelab Iqra’ tetap berdiri teguh dan dikekalkan statusnya selagi mana tiada hitam putih dikeluarkan daripada Yang Berbahagia Ayahnda Dato’ Mohd Noh b Dalimin, Naib Canselor UTHM.

5.2 Isu Luar Kampus

Selain daripada mengaktifkan peranan Kelab Iqra’ di arena antarabangsa seperti mewujudkan hubungan secara langsung dengan pelajar antarabangsa di bumi UTHM ini. Salah satu usaha yang telah dilakukan oleh Kelab Iqra’ ialah dengan mengadakan diskusi bersama Student Foreigner Council, satu perkara yang tidak mustahil dilakukan dan menunjukkan Kelab Iqra’ sentiasa peka dengan isu-isu yang berlaku di luar negara. Walaupun dengan tenaga, kemahiran dan kemampuan yang serba kekurangan namun ia bukanlah menjadi penghalang tetapi menjadi keperluan Kelab Iqra’ untuk berusaha bagi memastikan kebersamaan di dalam isu-isu antarabangsa. Sabda Rasulullah SAW : "Bukanlah dari golongan kami sesiapa yang tidak mengambil berat urusan orang-orang muslim".

Perkara ini menuntut kepada Kelab Iqra’ untuk sentiasa responsif dan proaktif terhadap persekitaran luarnya. Usaha-usaha Kelab Iqra’ sebelum ini, seperti menganjurkan Demonstrasi Palestin dengan penyertaan melebihi 500 mahasiswa UTHM amat penting bagi menterjemah hasrat murni Kelab Iqra’ agar tidak terkongkong di dalam kerangka dunia dan persekitaran dalaman semata-mata. Hasilnya dapat dilihat, kerjasama yang utuh dapat dijalinkan antara mahasiswa-mahasiswa antarabangsa dengan barisan kepimpinan Kelab Iqra’.

Kelab Iqra’ juga telah kehadapan di dalam menyatakan pendirian terhadap isu-isu di peringkat nasional dan antarabangsa di mana kami sedaya upaya menyuarakan pendapat melalui blog rasmi Kelab Iqra’ dan beberapa tinta pimpinan yang diterbitkan sebagai satu saluran dakwah. Hasrat ini mungkin dapat di capai dengan lebih baik lagi sekiranya Kelab Iqra’ selepas ini dapat memperkemas sektor penerangan sebagai satu pusat pengumpulan data yang bersepadu bagi menyatakan pendirian Kelab Iqra’ dengan berteraskan sumber yang jelas.


6.0 SISWI DALAM ORGANISASI

Sesungguhnya kedatangan Islam telah mengangkat semula darjat ketinggian dan kemuliaan kaum wanita. Jika dibandingkan pada zaman jahilyyah, mereka menganggap kaum wanita sebagai barang dagangan dan tiada nilai. Pada zaman kegemilangan Islam pula, wanita telah dapat melakukan peranannya yang sangat besar dalam pembangunan, kemajuan masyarakat dan agama Islam. Mereka juga mempelopori karya yang besar samada dalam bidang sosial, ekonomi mahupun politik.

Apa yang diharapkan, sejarah kegemilangan kaum wanita silam akan dicernakan kembali oleh golongan siswi sebagai ahli akademik yang mempunyai pengetahuan am yang luas serta melibatkan diri dalam kerja-kerja organisasi.

Sewajarnya golongan siswi hari ini, mengorak langkah yang lebih ke hadapan sesuai dengan cabaran dunia semasa. Pada masa kaum wanita merupakan masyarakat dominan, peranan dan penglibatan siswi dalam organisasi sebagai pucuk pimpinan atau anggota yang aktif amat diperlukan.

Justeru itu, saya berharap agar pimpinan baru Kelab Iqra’ mewujudkan suatu jabatan atau unit khusus diperingkat siswi dengan harapan mahasiswi dapat bergerak pantas dan berani kehadapan sebagai persiapan ke arah melahirkan intelektual mahasiswi seiring dengan golongan mahasiswa.

7.0 PEMBENTUKAN GENERASI KEPIMPINAN KARISMA

Peter F. Drucker mengatakan, “….the leader sees leadership as responsibility rather than as rank and privilege”. Beliau membezakan antara leader (pemimpin) dengan misleader (penyesat). Menurut Drucker lagi pemimpin mempunyai matlamat perjuangan yang unggul, tahu erti dan fungsi kepimpinan dan tidak takut dan cemburu dengan kekuatan rakan-rakan dan orang bawahannya. Kejayaan mereka tidak dirasakan sebagai gugatan, sebaliknya dianggap sebagai kejayaannya juga. Misleader atau penyesat pula sebaliknya. Mereka rasa tergugat dengan kecemerlangan rakan-rakan dan para bawahannya, lalu berusaha untuk menyingkirkan mereka.

Sememangnya mahasiswa sejak di kampus lagi harus digilap bakat kepimpinannya agar dapat menjadi seorang pemimpin – pendidik ataupun transforming leader yang mampu merubah masyarakat menjadi lebih baik dan unggul pada masa akan datang apabila mereka menjadi pemimpin negara. Menginsafi keadaan ini, pemimpin mahasisawa perlulah menoleh kembali peranan mereka. Pimpinan mahasiswa perlu menoleh kembali sejarah perjuangan, mengamati dan menganalisis cabaran semasa serta membentuk visi dan misi masa depan. Hanya mahasiswa yang mempunyai misi dan visi masa depan saja yang akan sedar betapa mahalnya nilai perpaduan, toleransi, budaya dan tradisi ilmu, memahami adabul ikhtilaf (berbeza pandangan), faham menguruskan perubahan (managing changing) dan musyawarah bagi merealisasikan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin (membawa rahmat ke seluruh alam).

Maka, Pembentukan kepimpinan kini memerlukan kepada nilaian budaya karismatik seperti yang telah dikatakan oleh Max Weber, ciri utama karisma ialah suka melawan status quo (taradisi),. Mereka ini mempunyai kekuatan wibawa dan daya pikat luar biasa yang dapat mempengaruhi dan menyakinkan orang ramai. Mereka ini biasanya sentiasa membawa sesuatu yang baru dan dirasakan baik untuk masyarakat. Bagi membina sebuah kepimpinan mahasiswa yang unggul, mahu atau tidak budaya kepimpinan mahasiswa perlu diambil berat oleh semua pihak terutamanya pihak mahasiswa sendiri dan pihak pentadbir universiti. Hakikat bahawa kepimpinan mahasiswa bakal mewarnai kepimpinan negara dan ummah pada masa akan datang perlu di pandang serius. Budaya kepimpinan mahasiswa kini pasti akan mencorakkan budaya kepimpinan masa akan datang. Tanpa usaha yang bersunggguh-sungguh dan disertai dengan jiwa yang besar ia sekadar menjadikan mahasiswa itu didedahkan dengan budaya rubber stamp atau pun budaya angguk. Kesannya cukup besar pada pembinaan struktur sosial masyarakat pada masa akan datang. Malah lebih parah lagi, ia dinodai dengan budaya ampu, perpecahan, tidak bersih-rasuah, fitnah memfitnah, musuh memusuhi dan sebagainya.


8.0 PENUTUP

Sahabat-sahabatku harapan ummah,

Alaf baru dengan serba kemodenan yang sedang dilalui ini sepatutnya tidak dijadikan penyebab untuk kita merasa kecil dan lemah malah kita seharusnya perlu memastikan segenap kekosongan dan ketandusan yang wujud dalam masyarakat diisi dengan kefahaman yang sebenar. Justeru Kelab Iqra’ perlu terus diperkukuhkan kerana inilah wasilah induk kita untuk menyampaikan kefahaman Islam yang sebenar selain penerimaan ilmu di kuliah kepada masyarakat kampus yang pelbagai latarbelakang. Inilah medan untuk memperkukuhkan wehdah dan kesatuan demi keutuhan dan keizzahan Islam.

Akhirnya, saya ingin menegaskan bahawa sebagai sebuah wadah kesatuan mahasiswa dan mahasiswi di bumi UTHM ini, kita sewajarnya membuat persediaan secukupnya untuk memimpin suatu gerakan bagi menangani perubahan yang berlaku di masa depan. Untuk melaksanakan ini semua, segala sumber dan kebolehan yang ada iaitu kekuatan sahsiah, kebolehan, kemahiran, kepakaran, ilmu yang mantap, istiqamah dan daya juang yang tinggi, mestilah digemblengkan menjadi suatu tenaga yang kukuh dan seterusnya menjadi pemimpin suatu kuasa yang mampu menangani perubahan yang berlaku.

Semoga Allah mencucuri taufiq dan hidayah buat kita sehingga ke penghujung pertemuan ini. Selamat bermuktamar dengan penuh keikhlasan dan ketenangan seorang mujahid dan mujahidah.

Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum w.b.t

Allahuakbar... Allahuakbar... Allahuakbar...

MOHD HADI BIN ABD RAHMAN

Presiden Kelab Iqra’

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia sesi 2008/2009


1 comment:

aminshah said...

SALAM, USTAZ NAPE DAH X AKTIF FACEBOOK LG? SIBUK KE?


I made this widget at MyFlashFetish.com.